Tarikh:23 Nov 2026

Authored by

mpkadmin

Category

Berita

Share Link

Majlis Menandatangani Deklarasi Perlis 2026 antara Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah diadakan di Elissa Hotel & Suites, Kangar, Perlis.

Deklarasi ini ditandatangani oleh Tuan Haji Affendi Rajini Kanth, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Perlis bersama Puan Bathmavathi a/p K. Krishnan, Pesuruhjaya SUHAKAM, dengan disaksikan oleh YB Tuan Izizam bin Ibrahim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.

Turut hadir adalah Ahli Majlis MPPs, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil MPPs, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Pengurus Rumah Lavender Transit OKU & Ibu Tunggal dan Pengarah-Pengarah Jabatan MPPs.

Majlis ini merupakan manifestasi komitmen MPPs dalam mendukung prinsip kesamarataan hak setiap individu sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak dan kepentingan Orang Kurang Upaya (OKU).

Lebih bermakna, Deklarasi Perlis 2026 ini merupakan satu inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia bagi peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekali gus menjadikan MPPs sebagai PBT pertama yang memberikan penekanan khusus terhadap pemerkasaan hak dan kepentingan golongan OKU melalui pemeteraian deklarasi bersama SUHAKAM.

Hasil deklarasi ini, MPPs bersama SUHAKAM telah mengenal pasti lima teras komitmen dan tindakan yang akan menjadi panduan kepada usaha pemerkasaan OKU.

Pemeteraian deklarasi ini diharapkan dapat memperkukuh kerjasama berterusan antara MPPs dan SUHAKAM, khususnya dalam meningkatkan kesedaran, memperjuangkan hak golongan OKU serta memastikan prinsip hak asasi manusia diterapkan secara berperingkat dalam tadbir urus dan pembangunan perbandaran.

#MPPsLEADS
#perliscentric

#perlispintar
#perlisno.1

MAJLIS MENANDATANGANI DEKLARASI PERLIS 2026 ANTARA MAJLIS PERBANDARAN PERLIS (MPPs) BERSAMA SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (SUHAKAM)