Kandungan

12 NOVEMBER 2026 (KHAMIS) | ELISSA GARDEN HALL @KANGAR

Majlis Peluncuran Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 dan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 telah berlangsung dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Turut hadir ialah Yang Amat Berhormat Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis, bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perlis, ketua-ketua jabatan serta wakil agensi berkaitan.

Pelan pembangunan ini menjadi panduan strategik bagi merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Perlis sebuah negeri yang progresif, sejahtera dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Pelan tersebut menggariskan sembilan teras strategik yang merangkumi kemakmuran ekonomi, kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan, tadbir urus yang cekap, kelestarian alam sekitar, transformasi digital, pelancongan, kebajikan masyarakat serta pengukuhan ekosistem pelaburan dan perniagaan. Kesemua teras ini menjadi asas kepada perancangan dan pelaksanaan inisiatif pembangunan yang lebih tersusun bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh daya saing Negeri Perlis.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuklah pembangunan Perlis Smart State 2030 yang merangkumi pelaksanaan kerajaan digital, sistem pengurusan trafik pintar, sistem tempat letak kereta pintar serta penggunaan teknologi digital bagi tujuan pemantauan keselamatan.

Pelan ini turut memberikan perhatian kepada pembangunan sektor pelancongan, pemerkasaan ekonomi tempatan dan kelestarian alam sekitar sebagai pemangkin kepada pembangunan negeri yang mampan.

Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) diwakili Tuan Haji Affendi Rajini Kanth, Yang Dipertua MPPs telah menerima Anugerah Bandar Mampan 2026 sebagai pengiktirafan terhadap usaha MPPs dalam memperkukuh amalan pembangunan perbandaran yang mampan.

Pengiktirafan ini menjadi dorongan kepada MPPs untuk terus meningkatkan mutu pengurusan perbandaran, memelihara kualiti persekitaran serta menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Selain itu, MPPs turut menerima Laporan Pelan Tindakan Khas Cadangan Pengindahan Jalan Barrack, Kangar sebagai sebahagian daripada usaha merancang penambahbaikan imej dan landskap perbandaran. Cadangan pengindahan ini bertujuan meningkatkan daya tarikan kawasan bandar serta mewujudkan persekitaran yang lebih ceria, selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat setempat.

Penerimaan Anugerah Bandar Mampan 2026 dan penyerahan Laporan Pelan Tindakan Khas Cadangan Pengindahan Jalan Barrack, Kangar merupakan dua perkara penting yang memperlihatkan usaha berterusan MPPs dalam memperkukuh peranannya sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan kawasan pentadbiran serta kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, MPPs akan terus komited untuk melaksanakan perancangan pembangunan yang mampan, meningkatkan mutu pengurusan perbandaran serta memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. Komitmen ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 ke arah mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur, menarik, berdaya huni dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Perlis.

#MPPsLEADS
#perliscentric

#perlispintar
#perlisno.1